Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor telah memberi inspirasi dan semangat kepada saya dan seluruh warga Malaysia untuk berjaya. Walaupun Malaysia ni kerdil di peta dunia, jangan kata kita tak boleh sampai ke angkasa. Dan walaupun ada yang mengatakan sebagai penumpang sahaja tapi semua khabar tersebut boleh ditolak tepi kerana tugas angkasawan yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan eksperimen membuktikan bahawa angkasawan kita mempunyai tugas untuk negara. Bukan sekadar sebagai penumpang atau pelancong.

Angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat kembali ke Bumi pada 21 Oktober 2007 setelah berjaya menamatkan misi 10 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Kapsul kapal angkasa Soyuz TMA-10 yang membawa beliau bersama dua lagi angkasawan Rusia iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov, mendarat di Arkylk, Kazakhstan, tetapi tersasar 600 kilometer dari lokasi sasaran awal.

Soyuz mendarat tepat jam 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang di Malaysia) selepas meninggalkan ISS pada jam 11.15 pagi (3.15 petang waktu Malaysia) untuk perjalanan selama tiga jam 23 minit ke Bumi.Pemeriksaan kesihatan kecemasan yang dilakukan sebaik pasukan penyelamat menemui kapsul pendaratan itu mendapati kesihatan Dr. Sheikh Muszaphar dan semua krew Soyuz berada dalam keadaan baik.
Ketiga-tiga krew itu kemudiannya dibawa ke Kustanai, bandar di sempadan Kazakhstan-Rusia sebelum diterbangkan sejauh 1,500 kilometer ke Lapangan Terbang Chkalovsky berhampiran Star City, Moscow.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis menyaksikan kepulangan Dr. Sheikh Muszaphar dan krew Soyuz di Pusat Kawalan Misi (MCC), Moscow.
Turut menyaksikan detik-detik bersejarah itu melalui skrin besar MCC ialah Duta Malaysia ke Rusia, Datuk Mohamad Khalis Ali Hassan dan tentunya bapa Dr. Sheikh Muzaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor bersama ibunya, Datin Zuraida Sheikh Ahmad.
Angkasawan Malaysia itu dijadualkan berada di Moscow untuk tempoh dua minggu lagi bagi tujuan kuarantin sebelum kembali ke tanah air.
Warga UKM berasa amat bersyukur kerana Dr. Sheikh Muszaphar telah selamat mendarat dan berjaya melakukan misi ini dengan sempurna.
Tahniah kepada Dr. Sheikh Muszaphar dan negara atas kejayaan misi menjelajahi angkasa lepas ini. Ia telah menempa sejarah baru bagi Malaysia dalam bidang sains perubatan dan penerokaan angkasa lepas.